Sunday, January 25, 2015

Kerja kursus KKPP IAB konsep sekolah selamat.

PENGENALAN
Anjakan demi anjakan dalam era pendidikan kini telah mewujudkan keperluan untuk mengenal pasti kaedah, strategi dan model program yang dapat mempertingkatkan kesedaran terhadap keselamatan  murid dan warga sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia mengharapkan  murid-murid serta warga sekolah akan sentiasa berasa  selamat seterusnya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti-aktiviti di sekolah. Iklim persekolahan yang selamat dan kondusif akan meningkatkan keyakinan kendiri murid bagi membantu pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah seterusnya dapat memberi sumbangan
secara positif kepada sekolah, masyarakat dan negara.
Menurut pengerusi Niosh, Tan Sri Lee Lam Thye konsep ``sekolah selamat'' tidak seharus terbatas kepada masalah disiplin, jenayah, ancaman kepada pelajar, membuli dan sikap gengster semata-mata, tetapi juga perlu meliputi aspek keselamatan bangunan, peralatan dan kemudahan sekolah. Sekolahsekolah perlu sedar tentang kewujudan dan kepentingan Akta Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan 1994 serta aplikasinya kepada institusi pendidikan bagi kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan.
Perubahan iklim pendidikan telah mewujudkan keperluan mengenal pasti kaedah, strategi, dan model program yang mampu mempertingkatkan keselamatan dan kecemerlangan murid serta guru. Pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan komuniti setempat seharusnya bertanggungjawab untuk sama-sama mewujudkan dan melaksanakan “Polisi Sekolah Selamat”.

Definisi Dan Konsep Sekolah Selamat
Menurut Buku Panduan Penarafan Keselamatan Sekolah, Kementerian Penddikan Malaysia, “Sekolah” dalam arahan ini bermaksud bangunan sekolah dan infrastruktur lain yang termasuklah padang, gelanggang permainan serta kantin yang berada dalam lingkungan kawasan sekolah.“Warga Sekolah” dalam arahan ini bermaksud pihak berkepentingan di sekolah yang termasuklah pengetua, guru besar, murid, staf sekolah dan ibu bapa.“Arahan Keselamatan” dalam buku ini bermaksud peraturan dan prosedur yang hendaklah dipatuhi bagi memastikan aspek keselamatan di sekolah dilaksanakan dengan berkesan.“Sekolah Selamat” bermaksud warga sekolah berada dalam keadaan selamat, terjamin keselamatan dan tanpa gangguan daripada sebarang  elemen pengaruh dan ancaman.
Sekolah selamat bererti mewujudkan persekitaran sekolah yang aman, tenteram dan menyakinkan sesuai dengan tuntutan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dalam memenuhi aspirasi, inspirasi dan potensi terkini dan masa hadapan.
Stephens (1996) mendefinisikan sekolah selamat ialah tempat pelajar-pelajar dapat belajar dan guru dapat mengajar dalam suasana yang selesa dan bebas dari persekitaran yang menakutkan. Ia juga merupakan tempat di mana iklim pembelajaran dapat menggalakkan penerimaan semangat dan perlindungan bagi setiap kanak-kanak. Kunci sekolah yang selamat ialah wujudnya suasana yang mementingkan ramah mesra, persekitaran yang sentiasa memberi sokongan, wujudnya satu garis panduan yang jelas tentang tingkah laku yang bersesuaian dan ia hendaklah adil serta berterusan (Young, 1999). Menurut The National Education Association di Amerika Syarikat, NEA (1996) sekolah yang selamat ialah sekolah yang mempunyai iklim pembelajaran yang selamat serta tingkah laku pelajar yang sihat. Ia juga mempunyai fokus akademik yang kukuh, sentiasa menyokong pelajar mencapai standard yang tinggi, dapat mewujudkan hubungan yang positif antara guru dan pelajar di samping dapat membawa penglibatan ibu bapa dan masyarakat ke arah yang lebih bermakna. Sekolah yang selamat juga adalah sekolah di mana guru, staf dan pelajar-pelajarnya selamat daripada sebarang keganasan dari segi fizikal, mental dan psikologi. Keganasan yang dimaksudkan ialah sebarang tingkah laku bermasalah yang serius serta emosi yang ditunjukkan oleh pelajar. Ini termasuklah tingkah laku agresif yang serius, serangan berbentuk fizikal, membunuh diri, penggunaan dadah dan lain-lain tingkah laku personal yang berbahaya.
Rajah 1
Berdasarkan rajah 1 sekolah selamat memberi impak yang besar terhadap masyarakat dan negara. Kesan dari segi politik, sosial dan ekonomi terbentuk dari persekitaran yang selamat. Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2000 pula menghuraikan sekolah yang selamat sebagai “Sekolah sentiasa selamat dan bebas daripada insiden-insiden yang tidak diingini seperti murid diugut, diculik, diperkosa, penglibatan dalam dadah, perlakuan ala-gengster dan melibatkan diri dalam kegiatan gangster atau “triad society”. Sekolah belum cukup selamat sekiranya aspek peraturan dan undang-undang tidak diambil kira. Salleh Buang (1996) menegaskan bahawa sesebuah institusi yang di dalamnya terdapat ahli-ahli yang perlukan perlindungan, keselesaan dan keselamatan, kawalan dari aspek perundangan tidak harus diabaikan.
PEMIMPIN SEKOLAH MELAKSANAKAN KONSEP SEKOLAH SELAMAT
Bagi merealisasikan konsep sekolah selamat serta iklim pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, saya sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Islam 2 telah melaksanakan beberapa perancangan dan tindakan. Perancangan dan tindakan saya adalah berdasarkan perinsip-perinsip berikut ;
a. Sekolah selamat merupakan urusan semua warga sekolah
Pentadbir, staf dan pelajar Sekolah Rendah Islam 2, harus memahami peraturan dan akibatnya. Justeru, langkah pertama ke arah persekitaran yang selamat, bebas daripada segala ancaman dan pembelajaran yang berkesan komitmen menyeluruh dalam sekolah terhadap tingkah laku yang baik dan mematuhi peraturan amatlah diperlukan.
b. Sekolah selamat adalah sebuah keluarga
Para pendidik dan para pelajar Sekolah Rendah Islam 2 merupakan ahli sebuah keluarga. Disiplin dan sokongan terhadap tingkah laku positif dan aktiviti perlulah melibatkan semua kakitangan dan pelajar.
c. Sekolah selamat merupakan sekolah yang perihatin terhadap nilai dan menghormati semua pelajar
Sekolah selamat mewujudkan dan menyokong usaha untuk sentiasa prihatin dan mengenalpasti kepelbagaian keperluan semua pelajar.
d. Sekolah selamat menetapkan piawaian akademik yang tinggi
Pelajar Sekolah Rendah Islam 2 yang belajar dengan baik akan berkelakuan baik. Kebanyakan masalah tingkah laku pelajar sebahagiannya berpunca daripada kekecewaan akibat gagal dalam pembelajarannya. Oleh itu jangkaan dan piawai akademik yang tinggi amat perlu, sekolah bersedia membantu pelajar mencapai piawaian tersebut.
e. Sekolah selamat menetapkan piawai tingkah laku yang tinggi
Sekolah Rendah Islam 2 bukan sahaja menetapkan piawai tingkah laku yang tinggi tetapi juga sentiasa bersedia membantu pelajar mencapai piawaian tersebut. Guru-guru yang terlatih memainkan peranan dengan bantuan dan sokongan pentadbir akan menghasilkan persekitaran yang positif lalu mewujudkan tingkah laku yang bersesuaian dan membina.
f. Sekolah selamat adalah mengamalkan pengurusan strategik
Pentadbiran Sekolah Rendah Islam 2 sentiasa membuat penilaian terhadap keperluan-keperluan, menyedia dan melaksanakan kajian berdasarkan strategi dan menyelaraskan perkhidmatan bagi mengenal pasti keperluan semua pelajar.
g. Sekolah selamat menggabungkan tiga pendekatan pencegahan
Pihak sekolah menjalankan usaha-usaha pencegahan secara menyeluruh kepada semua pelajar, program pencegahan awal kepada pelajar-pelajar yang dikenalpasti mempunyai risiko masalah tingkah laku dan pencegahan secara individu terhadap pelajar yang mengalami masalah tingkah laku yang serius.
h. Melibatkan komuniti setempat dengan pihak sekolah
Kenalkan dan sebar luaskan Pasukan Sokongan Komuniti. Aktiviti-aktiviti atau sumbangan yang dilaksanakan oleh pihak komuniti seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu dimaklumkan kepada masyarakat sekeliling dan warga sekolah. Ini bertujuan supaya sumbangan mereka dihargai dan diperlukan oleh pihak sekolah.  Cara ini juga akan menjadikan pelajar-pelajar rasa dihargai dan dilindungi oleh ibu bapa mereka walaupun ketika mereka sedang berada di sekolah.
i. Pelan tindak balas krisis
Tingkatkan pelan tindak balas krisis. Sekiranya perancangan bagi menangani masalah kurang bersesuaian dengan masalah yang timbul, pelan tindakan krisis perlu diubah suai dan penambahbaikan. Tindakan ini bagi menjimatkan masa dan tenaga yang terlibat serta dapat mengawal iklim keselamatan sekolah agar sentiasa terjamin.
f. Pemantauan berterusan
Pemantauan yang berterusan oleh penyelia. Pihak pengurusan dan kepimpinan sekolah semestinya sentiasa mempastikan kumpulan keselamatan sekolah sentiasa peka dengan keselamatan sekolah mengikut prosedur yang telah dipiawaikan.
CARA MELAKSANAKAN SEKOLAH SELAMAT
Usaha mewujudkan perancangan sekolah yang selamat ini juga adalah satu proses yang panjang, sistematik dan komprehensif. Justeru, untuk mencapai kejayaan yang optimum memerlukan penglibatan semua pihak secara sistematik. Terdapat beberapa pendekatan pencegahan dan kesedaran telah difikirkan Guru Besar  supaya Sekolah Rendah Islam 2 terhindar daripada gejala-gejala berkenaan.
a. Kepemimpinan yang berkesan
Guru Besar  sebagai pemimpin telah mengamalkan ketelusan, mudah dihubungi, menggunakan piawai disiplin yang adil, pengharapan yang tinggi terhadap tingkah laku para pelajar dan kakitangan, inovatif, mengadakan latihan dalam perkhidmatan dan menyediakan ruang untuk kakitangan dan pelajar menyelesaikan masalah serta  menghapuskan konflik (Hussein Mahmood, 1993). Kepimpinan efektif yang diamalkan oleh Guru Besar dan pengurus sekolah akan mewujudkan budaya sekolah yang harmonis.
b. Tumpuan kepada pencapaian akademik
Kami sebagai pentadbir mempercayai  bahawa semua pelajar Sekolah Rendah islam 2 mampu dan boleh mencapai tahap akademik yang baik dan bertingkah laku yang baik. Kebanyakan kes yang melibatkan masalah disiplin dilakukan oleh pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik dan tidak mempunyai minat belajar menyebabkan mereka cenderung bertingkahlaku negatif. Justeru,Guru Besar  sebagai pengurus menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik kepada seluruh pelajar. Pendekatan pengajaran atau kurikulum yang memberi peluang pelajar merasai kejayaan dalam kerjanya akan membibitkan rasa minat mereka terhadap belajar dan sekali gus mengurangkan kekecewaan yang mendorong kepada kekecewaan dan masalah disiplin di kalangan pelajar (Howard, 1981).
c. Mewujudkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat
Sekolah telah mewujudkan hubungan yang baik, rapat dan telus dengan masyarakat atau komuniti sekolah. Ini termasuklah ibu bapa pelajar, masyarakat sekitar sekolah, polis, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Apabila jalinan pertalian ini semakin lemah, risiko keganasan akan semakin bertambah dan peluang untuk membantu pelajar yang berisiko tinggi akan semakin menurun. Pihak sekolah juga telah mendapatkan kerjasama daripada pihak polis, RELA dan ibu bapa untuk membuat rondaan di kawasan-kawasan yang difikirkan berisiko dari segi keselamatan. Dari semasa ke semasa sekolah perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkembangan persekolahan.
d. Menekankan perhubungan yang positif antara pelajar dan staf
Silaturrahim  yang baik antara guru dengan pelajar telah dipupuk  dan dijadikan sebagai amalan untuk mewujudkan iklim sekolah yang selamat. Kajian-kajian mendapati bahawa perhubungan pelajar dengan orang dewasa di sekolah yang bersedia memberikan sokongan apabila diperlukan adalah satu daripada faktor kritikal dalam pencegahan keganasan pelajar (Watson, 1995).
e. Membincangkan isu keselamatan secara terbuka
Penekanan tentang aspek keselamatan diri pelajar telah dididik melalui pengajaran, peraturan, latihan, bimbingan dan amalan-amalan di sekolah. Pelbagai program telah kami jalankan seperti ceramah, pameran, demonstrasi, dan lain-lain aktiviti, mempamerkan poster dan peraturan mengenai keselamatan membantu memberi kefahaman dan kesedaran pelajar mengenai keselamatan sekolah. Guru Besar juga telah menggunakan apa sahaja ruang seperti perhimpunan mingguan, pemakluman oleh guru kelas, mesyuarat staf, mesyuarat pengawas dan seumpamanya sebagai saluran bagi memperingatkan semua warga sekolah tentang pentingnya menjaga keselamatan dan kebajikan diri masing-masing.


f. Layanan sama rata dan budaya ambil tahu kepada pelajar
Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada konflik di sekolah adalah kerana layanan yang tidak adil kepada pelajar berdasarkan jantina, ras, kebolehan, kelas sosial, agama, orientasi seks, penampilan fizikal dan lain-lain faktor oleh guru dan rakan sebaya. Oleh itu, pelajar yang menerima layanan yang sedemikian akan menjauhkan diri dan cenderung menjadi sasaran kepada keganasan. Oleh itu, komunikasi berkesan haruslah dipentingkan dan menganggap semua pelajar dan guru dihormati. Antara usaha-usaha yang telah kami sebagai pentadbir sekolah ialah mengimplimentasikan dan menerapkan elemenelemen pemberian ganjaran, pemupukan dan penyuburan nilai-nilai murni, hak untuk membela diri dalam kes-kes disiplin, rasionaliti dalam mengambil tindakan, konsep penyayang, menganggap semua pelajar berpotensi untuk berjaya, dan menganggap sekolah sebagai syurga kehidupan pelajar dalam semua aspek
g. Kawalan keluar masuk sekolah
Sekolah Ren Islam 2 telah mewujudkan suatu sistem kawalan dengan rekod yang kemas kini mengenai pergerakan keluar masuk orang-orang awam ke dalam kawasan sekolah termasuk yang diberikan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa murid keluar ketika dalam persekolahan. Pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam dan pondok keselamatan telah diwujudkan untuk memudahkan proses kawalan ini. Prosedur yang spesifik ke atas pelawat juga diwujudkan untuk mengesan pelawat atau penceroboh. Tindakan ini dapat mengawal pergerakan orang yang tidak dikenali dalam kawasan sekolah dan akan memudahkan pihak pentadbiran sekolah atau polis mengesan pihak yang bertanggungjawab jika sesuatu berlaku.
h. Menyediakan prasarana dan kawasan yang selamat
Kawasan berkumpul yang selamat dan terkawal bagi pelajar-pelajar yang sampai awal pagi sebelum permulaan kelas dan pelajar-pelajar yang menunggu kenderaan untuk pulang di sebelah petang selepas sesi persekolahan telah disediakan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah membersihkan semak-samun kawasan, laluan dan jalan yang digunakan seharian oleh para pelajar agar lebih terbuka dan selamat. Aspek kawalan keselamatan sekolah menumpukan kepada kawalan dalaman dan luaran sekolah. Kawalan terhadap bangunan melibatkan tindakan-tindakan mengawal pergerakan pelajar di antara bangunan, melakukan penyeliaan berterusan, dan menyediakan sistem kawalan terhadap khabar angin dalam kawasan sekolah (Howard, 1981). Kawalan luaran sekolah pula melibatkan penyediaan pagar di sekeliling sekolah, mengawal laluan keluar masuk sekolah dan memastikan risiko berlakunya kemalangan akibat unsur-unsur landskap seperti pokok tumbang atau pondok bacaan runtuh dan sebagainya.
i. Menyediakan sistem dan prosedur keselamatan pelajar dan sekolah
Guru Besar telah menjadikan peraturan mengenai keselamatan sebagai sebahagian daripada Peraturan Sekolah yang perlu difahami dan dipatuhi oleh semua pihak termasuk guru-guru, pekerja pekerja dan ibu bapa. Pelaksanaan mengenai peraturan keselamatan di sekolah dijalankan secara tegas dan berterusan. Ini meliputi peraturan keselamatan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum, peraturan di bangunan sekolah seperti bilik darjah, bengkel dan makmal, disiplin murid, lawatan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar. Pihak polis juga telah  membantu mewujudkan sekolah selamat dengan melakukan rondaan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah. Pihak komuniti pula telah dapat memainkan peranan dengan menjadi sukarelawaan mengawasi tingkah laku pelajar. Peraturan sedia ada yang tidak membenarkan orang luar (pelawat) memasuki kawasan sekolah dan bertemu dengan pelajar tanpa kebenaran pengetua telah dikekalkan dan dipatuhi oleh Guru Besar. Bagi meningkatkan lagi keselamatan di sekolah, talian bantuan kecemasan yang menghubungkan sekolah dengan Balai Polis, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan penyelamat dan hospital berhampiran telah diwujudkan sepertimana yang dilakukan oleh bank-bank perdagangan. Usaha pencegahan kebakaran juga telah ditingkatkan. Surat Pekeliling Ikhtisas mengenainya kami akur seperti  sekolah mesti mempunyai sistem loceng kecemasan, pelan pencegahan kebakaran, alatan penyembur api dan sebagainya. Stephen (1996) mencadangkan supaya pengurusan sekolah menjalankan program latihan kebakaran sekurang-kurangnya 3 kali setahun.
KESIMPULAN
Bagi memastikan sekolah berkeadaan lebih selamat, usaha-usaha secara bersepadu perlu dilaksanakan bukan sahaja oleh Guru Besar sebagai pengurus sekolah tetapi juga seluruh warga sekolah termasuk guru, pelajar, ibu bapa, dan PIBG, pihak berkuasa Kementerian Pelajaran dan ahli komunit termasuk pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Strategi perancangan dan pelaksanaannya juga perlu dilakukan dalam proses yang berterusan tanpa mengira elemen-elemen yang menggugat keselamatan berkenaan sudah wujud atau belum di sekolah kita.


Rujukan

Haslina Hassan (2000). “Gejala Gangsterisme di Kalangan Pelajar: Fenomena yang Meresahkan”. Dewan Masyarakat. Jun 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Halaman 14-16.
Hussein Mahmood (1993). “Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah”. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
         Kementerian Pendidikan Malaysia( 2002).Konsep dan manual sekolah selamat: panduan pelaksanaan menjadikan  sekolah,komuniti dan keluarga selamat untuk kanak-kanak.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2000.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1999. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di Sekolah Menengah.
Mohd.Ismail Othman (2004). “Undang-Undang Untuk Pengetua dan Guru Besar”. Pahang: PTS Publications & Distributions Sdn.Bhd.
National Education Association. (1996). “Safe School Manual
Shamsiah Bt. Mohd. Amin et. al (2005). Konsep Dan Pelaksanaan Sekolah Selamat .Universiti Teknologi Malaysia

No comments:

Post a Comment