Wednesday, January 26, 2011

Kisah kemungkaran umat Nabi Nuh

TAJUK : KISAH KEMUNGKARAN NABI NUH.

Nabi Nuh adalah Nabi keempat sesudah Adam,Syith dan Idris dan dari keturunan kesembilan dari Nabi Adam. Ayahnya bernama Lamik bin Metusyalih bin Idris. Baginda diutuskan oleh Allah sebagai Rasul untuk menyampaikan ajarannya kepada penduduk Armenia.Ketika itu kaumnya sudah jauh terpesong dari cahaya keimanan.
Firman Allah dalam surah Hud ayat 25 :


Maksudnya : “ Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya seraya berkata “sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagi kamu."

Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya,
950 tahun jangka masanya,
Ajaran Tauhid dibawa dipersia,
Hanya sedikit yang jadi pengikutnya.

Nabi Nuh terasa sedih dan hibanya,
Anak dan isteri tolak dakwahnya,
Puas dipujuk dan dirayunya,
Hanya cemuhan yang diterima.

Sepanjang menyampaikan dakwah itu, Nabi Nuh sering diejek, dihina sepanjang masa oleh orang –orang Kafir itu. Namun baginda tetap bersabar dan meneruskan juga usahanya itu.
Pengajarannya setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan ini hanyalah kesabaran dan ketekunan yang penting bagi menjadi amalan kita seharian.

Berlakulah perdebatan antara Nabi Nuh dan kaumnya. Mereka mencabar Nabi Nuh agar menyegerakan azab Allah ke atas mereka sebagaimana yang sering disebut-sebut oleh Nabi Nuh.
Berkata mereka kepada Nabi Nuh “Kami tidak melihat kamu, melainkan sebagai seorang manusia biasa seperti kami.Kami tidak melihat orang-orang yang mengikut kamu, melainkan orang-orang yang hina di antara kami yang lekas percaya.Dan kami percaya dan yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta.”

Jawab Nabi Nuh “ Aku hanya seorang manusia yang mendapat amanah dan diberi tugas Allah untuk menyampaikan risalahnya kepada kamu.Jika kamu tetap berkeras kepala dan tidak mahu kembali ke jalan Allah maka terpulanglah kepada Allah menemtukan hukumnya.”
Dengan penuh kesabaran dan ketaatan Nabi Nuh tetap meneruskan usahanya menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Firman Allah :


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Walaupun perdebatan demi perdebatan berlaku di antara Nabi Nuh dan kaumnya, mereka tetap engkar dan buta hati dalam menerima kebenaran dan kekalahan mereka dalam kesesatan. Harapan Nabi Nuh akan kesedaran kaumnya itu semakin berkurangan.Firman Allah yang bermaksud “ sesungguhnya tidak akan ada dari kaumnya mengikutimu dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutmu dan beriman lebih dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa yang mereka perbuat”.
Dengan penegasan Firman Allah itu, lenyaplah sisa harapan dan habislah kesabarannya.
Dalam keadaan bersedih Nabi Nuh berdoa :
“Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan orang-orang kafir ini di atas muka bumi kerana sesungguhnya mereka akan menyesatkan hambamu yang lain.”
Tidak lama kemudian Nabi Nuh menerima wahyu daripada Allah.
Wahyu Allah telahpun tiba,
Nabi Nuh menerima dengan redha,
Bersama pengikutnya membina bahtera,
Untuk menghadapi azab bahaya.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Hud ayat 37


Maksudnya “ Dan buatlah sebuah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami (yakni Allah)”.
Jibril diutus untuk mengajar baginda membuat bahtera. Jika dilihat pada hari ini pelbagai rekaan yang dapat dihasilkan daripada penguasaan ilmu pengetahuan seperti bangunan pencangkar langit KLCC, transit aliran ringan LRT dan sebagainya. Oleh itu kita digalakkan untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Suasana menjadi gempar.Orang kafir merasa pelik dengan perbuatan Nabi Nuh. Mereka berkata dengan angkuh:
“Gilakah engkau Nuh, apa gunanya bahtera yang engkau buat ini. Di sini tak ada laut, tak ada sungai”.
Namun Nabi Nuh dan pengikutnya terus membina bahtera tersebut dengan rajin dan tekun,siang dan malam.

Bahtera dicemari kaum yang dengki,
Najis dibuang merata-rata,
Kekuasaan Allah tetap terjadi,
Menjadi penawar si tempang, si buta.

Sesungguhnya Allah berkuasa ke atas sesuatu perkara yang dikehendakinya. Seperti mana berlakunya bencana Tsunami, selsema burung adalah menunjukkan bukti kekuasaan Allah yang tidak dapat dielakkan. Sebagaimana FirmanNya :

•
Maksudnya : sesunguhnya Dia maha berkuasa terhadap sesuatu perkara (Surah Fussilat ayat 39)

Setelah siap bahtera dibina
Awan berarak, taufan melanda
Itulah tanda balasan bermula
Dari Allah yang Maha Esa.

Dengan perintah Allah tercurahlah air dari langit dan memancut dari bumi air yang deras dan dahsyat. Angin yang ganas serta rebut taufan.wo…wo….wo… dengan sekelip mata banjir besarpun melanda dan tenggelamlah segalanya hingga kepuncak bukit.Tiada lagi tempat berlindung kecuali bagi orang-orang yang beriman. Tenggelamlah kaumnya yang kufur termasuk isteri dan anaknya Kan’aan yang kufur dan mungkar bersama banjir yang dahsyat itu.
Firman Allah :
•

Dan katakan : “Binasalah orang-orang yang zalim”
Surah Hud ayat 44.

Setelah air bah dahsyat itu mencapai puncak keganasannya dan habis, maka binasalah semua Kaum Nabi Nuh bergelimpangan di atas permukaan air termasuk puteranya. Setelah itu surutlah air itu diserap bumi. Berlabuhlah bahtera Nabi Nuh di atas Bukit “Judie” dengan iringan perintah Allah kepada baginda.
“ Turunlah wahai Nuh ke darat bersama pengikutmu yang Mukmin.Allah akan melimpahkan barakah dan inayah disisiNya.”

Allah Maha Bijaksana, orang yang beriman kepadaNya pasti akan selamat walau apa keadaan sekalipun. Oleh itu marilah kita sama-sama menjauhi segala kemungkaran dan kejahatan kepada Allah dan sesama manusia. Sesungguhnya balasan dari Allah adalah pedih.
Pengajarannya dari kisah ini ialah bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin kerana ikatan persamaan kepercayaan aqidah adalah lebih baik dan mulia dari hubungan yang terjalin kerana ikatan darah.
Demikianlah kisah Kemungkaran Kaum Nabi Nuh dan moga menjadi pengajaran kepada semua.

Sekian.












SEKOLAH : SEK. KEB. TITI TINGGI
NAMA PESERTA : MD. SYAATIR BIN SHARANI
TAJUK : KEPIMPINAN NABI SULAIMAN

Tersebutlah kisah Nabi Sulaiman,
Memimpin manusia jin dan binatang,
Pemerintahnya jadi pedoman,
Demi kemakmuran alam terbentang.

Nabi Sulaiman A.S merupakan putera nabi Daud A.S bin Isya dari keturunan Nabi Ibrahim. Baginda berbangsa Israel yang diketuai oleh ayahnya Nabi Daud.Sebagaimana Firman Allah dalam surah An-Namlu ayat 16 :


Maksudnya : “Dan Nabi Sulaiman telah mewarisi ( pangkat kenabian dan kenabian) Nabi Daud”.

Allah telah mengurniakan kepada Nabi Sulaiman A.S beberapa kelebihan. Antaranya Baginda boleh membawa angin untuk membawanya ke mana sahaja. Selain itu baginda juga mendapat bantuan dan khidmat daripada golongan jin yang kuat dan mahir dan boleh berkomunikasi dengan haiwan.

Bermulalah kisahnya sebagai seorang pemimpin, dimana Nabi Sulaiman dapat mengadili pertelingkahan dengan adil. Semasa baginda duduk bersama bapanya , tiba-tiba datang dua orang yang sedang bertengkar. Seorang daripada mereka berkata, “ kambing orang ini telah masuk ke ladangku dan makan tanaman-tanamanku yang ada di ladang itu”. Nabi Daud memutuskan hukum supaya tuan punya ladang itu mengambil kambing tersebut sebagai ganti tanamannya yang telah rosak.
Ketika itu Nabi Sulaiman meminta untuk memberi pendapat, “Tuan punya kambing hendaklah mengambil ladang itu untuk pulihkan tanaman yang rosak, sementara tuan punya ladang itu mengambil kambing untuk di ambil susunya hinggalah ladangnya itu selesai dipulihkan semula seperti asal. Setelah itu tuan punya ladang dan kambing mengambil semula harta masing-masing. Keputusan itu diterima baik oleh kedua-dua pihak.

Daripada peristiwa tersebut dapatlah kita ketahui bahawa baginda mempunyai kematangan di dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ayahnya yakin bahawa Nabi Sulaiman dapat menjadi hakim bagi menggantikannya. Pengajarannya ialah sebelum kita melakukan sesuatu perkara kita hendaklah menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah.
Bermulalah satu peristiwa di mana Nabi Sulaiman bersama-sama tenteranya yang sangat ramai dan terdapat juga seangkatan burung terbang di atas kepala mereka bagi melindungi mereka dari matahari dengan sayap-sayapnya. Apabila mereka sampai di satu lembah semut, lalu berkata raja semut itu “ wahai sekalian semut, masuklah kamu ke dalam rumah-rumah kamu supaya kamu tidak dipijak oleh tentera Sulaiman”.
Nabi Sulaiman terdengar arahan raja semut itu dan baginda menyuruh tenteranya untuk berehat bagi memberi laluan kepada semua semut tadi. Nabi Sulaiman bersyukur kepada Allah atas kurnia-Nya yang dapat mendengar suara semut itu. Pengajaran yang dapat di ambil daripada peristiwa ini ialah kita perlulah sentiasa bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Seperti Firman Allah dalam Surah An-Namlu ayat 16 yang bermaksud “ Wahai umat manusia, kami telah diajar memahami bahasa pertuturan burung dan kami telah di beri serba sedikit daripada tiap-tiap sesuatu”.
Hari ini Kementerian Pelajaran telah menetapkan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Maka kita haruslah menyahut cabaran ini agar dapat menguasai segenap ilmu di muka bumi Allah ini.

Di pagi hari yang indah ceria,
Datang Hud-hud pada baginda,
Membawa khabar dari singgah sana,
Matahari disembah dipuja-puja.

Mendengar cerita burung hud-hud itu Nabi Sulaiman menjawab sebagaimana firman Allah dalam surah An-Naml ayat 27 :
•
Maksudnya : “ Berkata Sulaiman, akan kami lihat adakah kamu benar atau termasuk orang-orang yang berdusta”

Nabi Sulaiman ingin menyiasat terlebih dahulu khabar tersebut, seperti yang terjadi kepada Negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan yang dicerobuh dan diserang tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Pengajarannya kita tidak boleh mudah mempercayai khabar angin sebelum tebukti kesahihannya.

Nabi Sulaiman telah mengutuskan sepucuk surat kepada Ratu Balqis melalui burung hud-hud. Ratu Balqis adalah permaisuri yang memerintah Negeri Sabak. Baginda mengajak Ratu Balqis menyembah Allah Yang Esa.

Ratu Balqis membalas dengan memberikan Nabi Sulaiman pelbagai hadiah yang berharga. Malangnya hadiah yang dikirim oleh beliau telah ditolak oleh baginda. Lalu baginda melakukan sesuatu yang luar biasa, dimana Nabi Sulaiman menyuruh Jin Afrit membawa singgahsana Ratu Balqis ditempatkan di bilik berkunci untuk menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Ratu Balqis sangat terkejut kerana kerana istananya berada di negeri Nabi Sulaiman. Maka tahulah beliau Nabi Sulaiman itu adalah utusan Allah. Dengan suara teresa-esak Ratu Balqis menyatakan keislamannya.

Kekuasaan dan kepimpinan baginda terhadap cukup-cukup luarbiasa, sehingga masih ditaati walaupun setelah baginda wafat sebagaimana firman Allah dalam Surah As-Saba’ ayat 14 yang bermaksud : “ Maka apabila kami menetapkan kematian sulaiman tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya.”

Kewafatan Nabi Sulaiman menunjukkan bahawa semua makhluk di dunia sehebat mana pun, pasti akan mati, hanya Allah yang kekal selamanya.

Demikianlah tadi berakhirnya kisah Nabi Sulaiman di dalam Al-Quran. Semoga ianya dapat menjadi iktibar dan tauladan serta pencetus kepada kita bagi melakukan amal kebaikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment