Wednesday, January 26, 2011

Kisah ketabahan Nabi Yaakub

KISAH KESABARAN NABI ALLAH AYYUB ALAIHISSALAM

Tersebutlah kisah di dalam Al-quran,
Seorang Nabi menjadi ikutan,
Darjatnya tinggi penuh kesabaran,
Menempuhi dengan pelbagai dugaan.



Itulah Ayyub serorang nabi yang sabar dan mempunyai martabat tinggi. Nabi Ayyub adalah putera ’Ish dari keturunan Nabi Ibrahim. Ibunya adalah seorang puteri Nabi Lut. Baginda dilahirkan di Negeri Syam.Nabi Ayyub mendapat didikan yang sempurna daripada kedua ibu bapanya yang beriman kepada Allah. Baginda mempunyai budi pekerti yang terpuji serta akal yang cerdas dan pintar.

Baginda menghabiskan usianya dengan menyeru manusia supaya beriman kepada Allah serta mengalami pelbagai ujian yang amat perit dari Allah. Baginda adalah hamba Allah yang dianugerahkan dengan harta yang melimpah ruah, dalam kenikmatan duniawi, tenggelam dalam kekayaan yang tidak ternilai besarnya serta isteri yang baik dan anak-anak yang ramai di awal kehidupannya. Baginda dan keluarganya memiliki jiwa yang baik serta suka menolong orang yang memerlukan .

Iblis berasa iri hatinya,
Melihat Ayyub dalam imannya,
Lalu meminta Allah yang Esa,
Untuk merosakkan iman yang ada.

Masyarakat sekelilingnya merasa dengki dan iri hati dengan sifat kemuliaan Nabi Ayyub itu. Mereka berkata ‘ Ah…….! Ayyub itu menyembah Allah kerana dia memperolehi harta dan anak-anak yang ramai, jika Allah mencabut kurniaan itu, nescaya dia tidak akan mahu menyembah Allah.Lantaran itu Allah menguji Nabi Ayyub dengan bermaksud sebagai contoh dan tauladan kepada manusia.

Ujian pertama baginda lalui ialah baginda diuji dengan kematian haiwan ternakannya satu persatu, kemudian ladang dan kebun tanamannya rosak menjadi kering kontang. Seterusnya Iblis menguji Nabi Ayyub dengan gedung-gedungnya terbakar habis sehingga dalam waktu yang singkat itu Nabi Ayyub telah menjadi miskin. Baginda tidak memiliki apa-apa lagi selain hatinya yang penuh dengan keimanan dan taqwa.Rasa cinta dan taatnya kepada Allah adalah merupakan benteng yang kuat daripada serangan iblis. Seperti dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 156 :

Maksudnya : Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kami akan kembali kepadanya.

Pengajarannya ialah kita hidup di dunia ini hanyalah sementara, segala harta kekayaan yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah semata. Oleh itu kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja kurniaan yang Allah berikan kepada kita.

Akan tetapi iblis bukanlah iblis jika ia berputus asa dari kegagalannya memujuk Ayyub... Lalu Iblis bersama kuncu-kuncunya menuju ke tempat tinggal putere-putera Nabi Ayyub dan menggoyangkan rumah mereka sehingga roboh dan menimbuskan semua penghuninya. Kemudian cepat-cepat iblis mengunjungi Nabi Ayyub sambil berkata “ Hai…..! Ayyub, sudahkah engkau melihat putera-putera mu mati tertimbun di bawah runtuhan gedung yang roboh akibat gempa bumi. Aku kira wahai Ayyub Tuhan tidak menerima ibadahmu selama ini dan tidak melindungimu sebagai imbalan yang amal solehmu dan sujud rukukmu siang dan malam”. Mendengar kata-kata iblis itu, menangislah Ayyub tersedu-sedu seraya berucap “ Allahlah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali, Segala puji bagi Allah Tuhan yang Maha Pemberi dan Maha Pencabut”. Sekali lagi iblis kecewa.
Seperti dalam firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 156 :

Maksudnya : Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kami akan kembali kepadanya.

Pengajarannya ialah segala musibah yang terjadi adalah satu dugaan semat-mata daripada Allah. Oleh itu kita hendaklah sentiasa bersabar apabila menerima sebarang ujian daripada Allah sama ada ujian dalam bentuk kesenangan ataupun kesusahan seperti berlakunya banjir di Negeri Kelantan dan Kedah baru-baru ini.

Sekali lagi Nabi Ayyub diuji dengan di timpa sakit yang amat parah sehingga tidak mampu berjalan dan bergerak, makin lama makin kurus, tenaganya makin lemah dan wajahnya pucat tidak berdarah serta kulitnya menjadi berbintik-bintik. Baginda akhirnya dijauhi oleh orang kampung dan kaum kerabatnya. Penyakit yang dideritainya semakin parah sekali sehinggakan daging tubuh baginda menjadi busuk. Lantaran itu keluarga serta sahabatnya menjauhkan diri, kecuali isterinya yang tetap mendampinginya, merawatnya dengan penuh kesabaran dan rasa kasih sayang, melayani segala keperluannya tanpa mengeluh atau menunjukkan tanda kesal hati. Namun begitu lama kelamaan isterinya merasa penat dan lelah menguruskan baginda, sehinggakan satu hari beliau mengeluh di depan Ayyub. “ Wahai Ayyub, sampai bilakah engkau diseksa oleh tuhan mu ini? Di manakah kekayaanmu, putera-puteramu, sahabt-sahabat karibmu dan kawan-kawan terdekat mu ? Oh, alangkah syahdunya masa lampau kami, usia muda, badan sihat, segala kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Oh, dapatkah kiranya berulang kembali masa yang manis itu? Belum cukupkah lagi ujian ini menimpa kita … ! kenapa engkau tidak mahu berdoa supaya Allah menghapuskanm bala ini …” ujar isterinya. Baginda menjawab “ Wahai isteriku yang kusayangi, Aku hendak bertanya kepadamu, berapa lama kita telah menikmati masa hidup yang mewah, makmur dan sejahtera itu”. “Lapan tahun” jawab si isteri. “ Lalu berapa lama kita telah hidup dalam penderitaan ini?” Tanya lagi Ayyub. “ Tujuh tahun”, jawab si isteri. “ Aku malu”, Ayyub melanjutkan jawapannya, “memohon dari Allah membebaskan kita dari kesengsaraan dan penderitaan yang telah kita alami belum sepanjang masa kekayaan yang telah Allah kurniakan kepada kita.” Nabi Ayyub diam seketika, kemudian dia berkata lagi “ Wahai isteriku…! Aku sangat sedih dengan sikap engkau, aku lihat imanmu mulai menipis dan sekarang pergilah jauh-jauh dariku, dan jika aku diizinkan sembuh, nescaya aku akan menyebatmu seratus kali.” Dengan demikian berjayalah iblis untuk memisahkan baginda dengan isterinya. Tinggallah baginda keseorangan dalam penuh penderitaan yang amat sangat. Ia bermunajat kepada Allah dengan sepenuh hati memohon rahmat dan kasih sayangNya.
Berdoalah Ayyub kepada yang Esa,
Memohon melenyapkan segala derita,
Allah berkenan dengan permohonannya,
Sembuhlah Ayyub dari sengsara.

Firman Allah dalam surah Shaad ayat 42 yang berbunyi ;





Yang bermaksud ; Allah berfirman : Hantamkanlah kakimu ; inilah air sejuk untuk mandi dan minum.

Dengan izin Allah, sembuhlah segera Nabi Ayyub dari penyakitnya dan baginda kelihatan lebih sihat dan lebih kuat.Pengajaranya ialah Allah Maha Berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa beriman kepada Allah.

Maka Allah berfirman lagi dalam surah Shaad ayat 43 yang bermaksud ( dan kami anugerahi dia ( dengan mengumpulkan kembali ) keluarganya dan kami tambahkan mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran).

Setelah baginda kembali seperti sediakala baginda meningkatkan lagi kesyukurannya terhadap Allah. Kemudian secara diam-diam isterinya kembali menemuinya, lalu isterinya membongkok dan tunduk di antara kaki baginda sambil menangis teresak-esak. Maka Allah berfirman yang berbunyi :


Dalam surah Shaad ayat 44 yang bermaksud ( ambillah dengan tanganmu seikat rumput, maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpahmu).
Ketika itu juga Nabi Ayyub menunaikan sumpahnya dahulu, dengan demikian kembalilah isterinya dalam keadaan bersih, benar dan ikhlas kepadanya semula.
Demikianlah kisah kesabaran seorang hamba Allah yang sangat sabar menempuh dugaan dan ujian semasa hidupnya. Demikianlah juga hal kita pada masa sekarang. Di mana Allah menguji kita dengan segala bentuk kemewahan, kemudahan hidup dan juga pelbagai penyakit sosial dan juga penyakit yang merbahaya seperti Aids, kanser, sakit jantung dan sebagainya.Tetapi sekiranya kita tidak terjebak dan dapat menilai segala yang terjadi itu adalah sebagai ujian dari Allah seperti mana apa yang berlaku terhadap Nabi Ayyub itu. Seperti contoh yang dapat kita kaitkan pada hari ini ialah ibu bapa, guru dan pemimpin hari ini hendaklah berusaha mengatasi gejala sosial dan penuh kesabaran kerana ianya adalah satu bentuk ujian dari Allah.

Semoga kita tergolong dalam orang yang berpegang teguh pada peringatan Allah.

3 comments: