Wednesday, January 26, 2011

Kisah Nabi Musa dgn Qarun

KISAH NABI MUSA A.S. DENGAN QARUN.

Nabi Musa adalah putera kepada Umran bin Qahit bin Lawi. Umran adalah dari salasilah Nabi Ibrahim melalui Nabi Yaakub anak Nabi Ishak. Ibunya bernama Yakabad , juga daripada keturunan Nabi Yaakub. Baginda dari keturunan Bani Israil. Qarun pula adalah seorang pemuda Bani Israil daripada keluarga Nabi Musa yang terdekat. Seperti Firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 76 :
.....................................................................................................................................
Maksudnya : Sesungguhnya Qarun itu termasuk di dalam kaum Nabi Musa.



Qarun adalah seorang yang bijak mengumpul harta kekayaan dengan cara menggunakan tenaga dan keringat bangsanya sendiri. Kemewahan yang dimilikinya amat luar biasa. Istananya, pakaiannya sehari-hari dan bilangan hamba sahayanya melebihi keperluannya. Walaupun beliau telah tenggelam dalam lautan kenikmatan duniawi, namun Qarun masih belum puas dengan kekayaan yang dimiliki. Sifatnya sangat tamak, andai ia memiliki segantang emas maka ingin lagi menggandakan gantang emas yang kedua dan demikianlah seterusnya. Begitulah sifat manusia didunia ini yang tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah.

Pengajarannya ialah kita hidup di dunia ini hanyalah sementara , segala harta kekayaan yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah semata. Oleh itu kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja kurniaan yang Allah berikan kepada kita.

Oleh kerana terkenal dengan kekayaannya, Qarun telah mendapat tempat di sisi Firaun serta dihormati oleh pembesar-pembesar negeri. Beliau mencari harta untuk kesenangannya sendiri, sedangkan Nabi Musa berjuang untuk membela bangsanya yang tertindas. Qarun telah di nasihati oleh pemuka-pemuka kaumnya agar memberi sebahagian kekayaannya itu untuk menolong fakir miskin tetapi segala nasihat baik dan peringatan yang jujur itu tidak diendahkan oleh Qarun.Seperti Firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 76 :

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah-megah.”

Sombongnya Qarun tiada terkira,
Tidak bersyukur dengan kurniaNya,
Mengakui harta hasil usahanya,
Bukan pemberian dari sesiapa.

Semasa Nabi Musa melarikan diri ke Madyan, bangsa Israil menyanjung Qarun dan melupai Baginda. Apabila Nabi Musa kembali di Mesir beberapa tahun kemudian , Qarun dan Firaun tiba-tiba resah dan merasakan kedudukan mereka mungkin terancam.

Qarun dan Firaun berpakat hendak menghapuskan Nabi Musa. Qarun memain peranan menyebarkan dakyah supaya bangsa Israil menentang Nabi Musa, manakala menteri kanan Firaun iaitu Haman membuat persiapan ketenteraan untuk menghapuskan baginda.Namun demikian Nabi Musa tidak gentar dengan rancangan jahat musuh-musuhnya, malah baginda terus berjuang menyatukan bangsa Israil untuk menentang kezaliman Firaun.

Pengajarannya Nabi Musa seorang yang tabah dan berani, walaupun baginda mempunyai ramai musuh, baginda tetap berjuang untuk menghapuskan segala kezaliman.Oleh itu jika kita mempunyai masalah, maka kita hendaklah tetap sabar dan tabah menghadapi segala dugaan yang berlaku.

Nabi Musa menghantar kaumnya.
Berjumpa dengan Qarun Si kaya,
Mengambil zakat dari hartanya,
Diagih kepada yang hidup sengsara.

Seperti firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 177 ;
•
Maksudnya : Dan mendirikanlah solat dan menunaikan zakat.

Qarun dengan acuh tak acuh menerima perintah wajib zakat daripada Nabi Musa. Setibanya di rumah Qarun telah menghitung-hitung bahagian yang harus dizakatkan dari harta miliknya, fikir punya fikir dan timbang punya timbang, akhirnya Qarun mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan zakat. Sebaliknya, Qarun menyebarkan fitnah pula kepada Nabi Musa.

“ Musa itu orang yang irihati,” dia ingin memiliki harta benda untuk memperkayakan dirinya, Musalah orang yang paling jauh dari agama dan ajaran tuhan,” kata Qarun kepada orang ramai. Walau bagaimanapun Nabi Musa tidak jemu-jemu menyeru kaumnya supaya beriman kepada Allah dan menganut ajaran yang diwahyukan kepada mereka. Semakin hari semakin ramai yang beriman. Keadaan ini menyebabkan Qarun semakin cemas kerana pengaruhnya semakin terhakis.

Pengajarannya ialah dengan berkat kesabaran Nabi Musa berdakwah, akhirnya baginda mempunyai ramai pengikut, begitulah juga dengan kita, jika sesorang itu bersabar Allah akan memberikan balasan yang baik. Kita hendaklah menurut segala perintah Allah seperti perintah berzakat, jika kita tidak melakukan nya akan berlaku bencana yang tidak diingini seperti bencana banjir yang baru-baru ini berlaku di Negeri Johor , Terengganu dan Indonesia.

Qarun merancang satu konspirasi untuk mencapai tujuannya, iaitu mengupah seorang perempuan cantik supaya mengaku dikhalayak ramai bahawa Nabi Musa pernah meniduri dan melakukan perbuatan sumbang terhadapnya. Lalu perempuan itu diberi pakai perhiasan yang cantik dan disuruh pergi ke perhimpunan di mana Nabi Musa sedang berdakwah. Kebetulan waktu itu Nabi Musa sedang menjelaskan hukum bahawa sesiapa yang melakukan persetubuhan haram dengan wanita yang sudah bersuami, maka hukumnya ialah rejam sampai mati
Qarun yang ada dalam majlis berkenaan bertanya kepada Nabi Musa apakah hukuman yang sama akan dikenakan jika baginda sendiri melakukan perbuatan sumbang itu. Dengan tegas Nabi Musa berkata “ Bahkan diriku akan menerima hukuman yang sama”. Tiba-tiba muncul seorang permpuan dan mengaku bahawa Nabi Musa pernah melakukan perbuatan sumbang terhadapnya. Akan tetapi Allah tidak rela nama Rasul-Nya tercemar, maka digerakkanlah hati wanita itu untuk menjelaskan kedudukan yang sebenarnya, bahawa apa yang dilakukan adalah fitnah yang dirancang oleh Qarun. Seperti Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 69 :

Maksudnya : Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan.

Nabi Musa adalah bersih dari perbuatan maksiat itu. Dengan itu pecahlah tembelang Qarun maka orang ramai mengutuk segala perbuatannya yang tidak bertanggungjawab itu.

Pengajarannya ialah Allah akan menjaga dan memelihara orang yang beriman kepadaNya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa beriman kepada Allah.

Nabi Musa kecewa dengan kesombongan Qarun yng dikurniakan harta kekayaan yang banyak tetapi tenggelam dalamnya, sebaliknya menggunakan kekayaan itu untuk menentang kebenaran. Sebagai pilihan terakhir , baginda berdoa kepada Allah agar menurunkan azab-Nya atas diri Qarun yang sombong dan bongkak itu , agar menjadi pengajaran kepada kaumnya.

Maka dengan izin Allah yang telah memperkenankan doa Nabi Musa, terjadilah tanah runtuh yang dahsyat sehingga seluruh harta dan mahligai Qarun tenggelam dalam perut bumi. Terbenamlah Qarun hidup-hidup beserta harta kekayaan yang menjadi kebanggaannya. Demikianlah lenyapnya Qarun yang lupa diri dan terpedaya dengan harta kekayaan.

Melihat kejadian yang dahsyat itu, maka ramailah fakir miskin yang menyesal atas keinginan doa mereka untuk menjadi kaya seperti Qarun itu. Seperti Firman dalam Surah Al-Qashash ayat 82 yang bermaksud “ Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya”.

Demikianlah tadi kisah Nabi Musa dan Qarun. Allah swt telah menurunkan balasan kepada orang yang menginkari perintah Allah. Pengajarannya ialah walaupun seseorang itu mempunyai harta yang berlimpah ruah jika tidak beriman kepada Allah akan musnahlah segalanya dengan izin Allah dalam sekelip mata ,seperti berlakunya gempa bumi baru-baru ini di Pakistan dan Turki. Sekian.

No comments:

Post a Comment