Wednesday, January 26, 2011

Kisah Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W

PERISTIWA KEWAFATAN NABI MUHAMMAD S.A.W

Assalamualaikum pembuka bicara
Buat guru dan rakan semua
Nabi Muhammad cerita hamba
Wafatnya baginda Rasul tercinta.



Nabi Muhammad s.a.w adalah anak kepada Abdullah b. Abdul Mutalib. Ibunya bernama Aminah bt. Wahab dari suku Quraisy yang mulia ketika itu. Bapa Nabi meninggal dunia ketika baginda berumur enam bulan dalam kandungan ibunya. Nabi dilahirkan dalam keadaan yatim tanpa harta yang banyak,tanpa ada seorang pun yang yang menunjuk ajar tetapi baginda terpelihara dari melakukan perbuatan jahat orang Arab Jahilliyah sehingga wafatnya baginda.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi bahawa setiap yang hidup akan mati, demikianlah juga dengan Rasulullah s.a.w. Sebelum wafat, baginda telah mengetahui ajalnya sudah hampir melalui wahyu daripada Allah s.w.t. Seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud :
” Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatmu kepadamu, dan aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”

Setelah selesai membaca ayat itu, baginda mengucapkan selamat tinggal kepada umat Islam seluruhnya dalam Haji Wida’ iaitu Haji Perpisahan. Ucapan tersebut membuatkan hati para sahabat baginda berdebar-debar dan gelisah.

Ketika para sahabat hendak menunaikan solat subuh di masjid, tiba-tiba tirai rumah Aisyah dibuka. Rasulullah tersenyum gembira melihat mereka berbaris untuk menunaikan solat. Saat itu, Abu Bakar menyangka Rasulullah akan mengimamkan mereka, tetapi baginda hanya mengisyaratkan dengan tangannya supaya Abu Bakar menjadi imam solat itu. Selepas itu baginda kembali ke biliknya lalu berbaring dengan menyandarkan kepalanya ke dada Aisyah. Pada masa itu baginda mula merasai kesakitan sebelum nyawa dan badan dipisahkan.
Seperti firman Allah dalam Surah Azzumar ayat 30 :

Maksudnya : ” Sesungguhnya kamu ( hai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka pula akan mati”.

Pagi Isnin 12 Rabiul Awal tahun ke 11 Hijrah, Rasulullah menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa berumur 63 tahun. Pengajarannya setiap yang hidup pasti akan mati, kita tidak tahu bila kita akan mati. Oleh itu kita mestilah melakukan perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Berita kewafatan mula tersebar
Penduduk Mekah menjadi gempar
Tabah Abu Bakar menerima khabar
Ketentuan Ilahi tak dapat dihindar.

Abu Bakar menerima berita itu dengan tenang, tetapi Umar Al-Khatab tidak dapat menerima hakikat bahawa Rasulullah telah meninggalkan mereka. Beliau menghunuskan pedangnya sambil memberi amaran akan membunuh sesiapa yang mengatakan Rasulullah telah meninggal dunia. Kemudian Abu Bakar pergi ke rumah Aisyah menziarahi jenazah Rasulullah. Abu Bakar mendekati jenazah baginda dan terus mengucupnya. Abu Bakar berkata ” Wahai Rasulullah yang ku cintai, alangkah harumnya engkau sewaktu masih hidup dan setelah wafat ”

Selepas itu, Abu Bakar keluar menemui para sahabat yang seakan hilang akal itu. Mereka umpama pasukan yang telah ditinggalkan komandannya. Lalu Abu Bakar pun berucap ” Wahai para sahabat, sesiapa yang menyembah Muhammad, kini Muhammad telah tiada. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati.” Seperti firman Allah dalam Surah Al- Imran ayat 144:

Maksudnya : Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, yang sebelumnya di dahului oleh beberapa Rasul Yang lain.

Setelah mendengar ucapan Abu Bakar itu, para sahabat kembali tenang, menerima takdir Allah dengan redha. Lalu Umar berkata ” seakan-akan aku tidak pernah mendengar atau membaca ayat-ayat yang dibaca oleh Abu Bakar itu”. Pengajarannya ialah kita kena tabah dan sabar walaupun apa jua perkara yang belaku kepada kita.

Rasulullah s.a.w telah dimakamkan di tempat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Setelah selesai pengebumian tersebut, para sahabat telah melantik Syaidina Abu Bakar sebagai Khalifah dan Amirul Mukminin yang pertama.

Kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah telah membuat para sahabat seakan-akan tidak dapat menerima akan kematian baginda. Sikap jujur, amanah dan adil dalam diri baginda telah menyebabkan baginda disayangi. Tetapi kita harus ingat, setiap yang hidup pastinya mati, terima Qadha dan Qadar dari Allah dengan hati yang redha.

Ya Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran.

Ya Allah, limpahi rahmatmu dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w , seluruh ahli keluarganya dan para sahabatnya. Semoga kita semua termasuk di kalangan hambanya yang mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Sekian , terima kasih.

No comments:

Post a Comment