Wednesday, January 26, 2011

Kisah Nabi Idris

KISAH NABI IDRIS ALAIHISSALAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta para hadirin sekalian

Tersebutlah kisah di dalam AL-quran,
Seorang nabi menjadi ikutan,
Darjatnya tinggi penuh kesabaran.
Membawa petunjuk membanteras kekufuran.



Itulah Idris, seorang nabi yang sabar dan mempunyai martabat tinggi. Baginda diutuskan Allah untuk memberikan petunjuk kepada keturunan Qabil supaya bertaubat daripada kekufuran. Nabi Idris dan pengikutnya menyeru makhluk Allah untuk melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Maryam ayat 57 ;
•

Maksudnya : “ Dan kami telah mengangkat kemartabat yang tinggi ”

Para Hukama’ berselisih pendapat tentang tempat kelahiran Nabi Idris. Sekelompok mereka berpendapat bahawa Nabi Idris dilahirkan di Mesir, di daerah Munaf. Ia diberi nama Hurmus al- haramisah, berasal dari bahasa yunani Armia, kemudian diistilahkan menjadi Hurmus. Menurut orang-orang Ibrani baginda bernama Khunuk yang diarabkan menjadi Ukhnukh. Kemudian Allah swt berfirman di dalam Al-Quran menamakannya Idris.
Pengajarannya, kita hidup didunia ini hanyalah sementara, orang yang rajin beramal dan beribadah akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Nabi Idris telah belajar dengan Nabi Syits, ketika mencapai usia dewasa baginda diangkat menjadi Nabi. Kemudian baginda berdakwah melarang kaumnya melanggar Syariat Nabi Adam dan Nabi Syits. Tetapi hanya segelintir kaumnya yang beriman, mereka lebih suka menentang daripada taat kepada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Idris.
Oleh kerana kaumnya degil menerima dakwahnya, baginda berhasrat untuk berhijrah meninggalkan negeri itu. Baginda menyeru kepada pengikutnya “ wahai saudaraku yang beriman ! Aku berhasrat untuk berhijrah dan membina kehidupan ditempat lain. Marilah kamu semua mengikutku ”. Namun mereka agak keberatan meninggalkan negeri itu. Dengan penuh kesabaran baginda berjaya memujuk kaumnya untuk berhijrah ke negeri lain.
Baginda dan kaumnya memilih Mesir dan tinggal di sana selama 82 tahun. Ketika berumur 82 tahun baginda telah diangkat oleh Allah menjadi Rasul. Seperti firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 164 ;

Maksudnya : Dan kami telah mengutus Rasul-rasul yang telah kami ceritakan kisah mereka.

Nabi Idris terus berdakwah menggalakkan kaumnya hidup dalam keadaan zuhud, menunaikan solat dan zakat, bersuci dari kekotoran dan menjauhi minuman keras.
Pengajarannya, kita hendaklah melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.Apabila manusia engkar dan alpa Allah menguji manusia dengan menurunkan bencana seperti gempa bumi, tshunami yang berlaku di Aceh dan Malaysia baru-baru ini. Melalui penghijrahan, seseorang itu dapat mengubah cara hidup yang lebih bertamadun dari segi intelek , rohani dan jasmani.

Nabi Idris Nabi yang bijaksana,
Tidak mudah leka dan terpedaya,
Sentiasa berdakwah tidak mengira masa,
Iblis dan syaitan gundah gulana.

Pada suatu hari, ketika sedang menjahit bajunya, tiba-tiba datang raja Iblis yang menyamar sebagai seorang lelaki. Dia datang dengan memegang sebiji telur, sambil berkata : “ Wahai Nabi Idris, bolehkah saya mendapat satu penjelasan dari tuan ? ”. Nabi Idris bertanya apakah kemusykilannya. Raja Iblis mengajukan pertanyaannya bagaimana Tuhan baginda memasukkan dunia ke dalam sebiji telur. Mendengar bunyi pertanyaan yang pelik itu, Nabi Idris mengamati dengan teliti rupa bentuk orang itu. Maka dengan izin Allah, baginda dapat mengenali bahawa orang itu adalah raja iblis yang dilaknat oleh Allah.
Baginda menyuruh Raja Iblis mengulangi pertanyaanya itu,semasa Raja Iblis bertanya baginda dengan lantas mencucuk matanya dengan jarum. Raja Iblis terperanjat dan mengadu kesakitan, lantas berlari membawa diri. Akhirnya matanya buta sebelah sehingga ke zaman junjungan Nabi Muhammad saw. Baginda bersyukur kepada Allah diatas petunjukNya itu.
Firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 200.
•

Maksudnya : “ Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah ”.
Pengajarannya , Iblis dan Syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Dia sentiasa cuba hendak menyesatkan golongan umat Nabi Adam dengan pelbagai cara. Senarionya , gejala sosial dikalangan remaja semakin meruncing disebabkan hasutan syaitan seperti penagihan dadah, mat rempit dan melakukan seks bebas tanpa memikirkan masa depan mereka.

Ibadah dan amalan Nabi Idris begitu terkenal di syurga. Ini menyebabkan Malaikat Izrail sangat cinta dan merindui baginda, lantas meminta izin daripada Allah untuk bertemu dengannya. Malaikat Izrail menyerupai seorang pemuda dengan membawa makanan dari syurga untuk Nabi Idris. Baginda melayan pemuda itu dengan mesra.
Keesokannya Nabi Idris mengajak pemuda itu keluar berdakwah, sepanjang perjalanan baginda melihat banyak keanehan daripada pemuda itu yang sangat berbeza daripada manusia biasa. Kemudian pemuda itu memberitahu baginda dia adalah Malaikat Izrail yang mencabut nyawa manusia. Nabi Idris meminta Malaikat Izrail mencabut nyawanya, kemudian dihidupkan kembali supaya baginda dapat beribadah kepada Allah.

Setelah Alllah mengizinkan Malaikat Izrail mencabut nyawa baginda, Izrail melaksanakan tugasnya, lalu Nabi Idris pun meninggal dunia seketika. Malikat Izrail menangis dan memohon ampun kepada Allah , supaya menghidupkan Nabi Idris semula. Allah menerima permintaan itu, lalu menghidupkan kembali Nabi Idris. Malaikat Izrail bertanya kepada baginda, bagaimana rasanya maut itu. Baginda memeberitahu maut itu amat pedih, seperti terkupas kulit dalam keadaan hidup, rasa sakit menghadapi maut itu lebih 100 kali gandanya.
Pengajarannya, kita sebagai insan didunia sentiasalah ingat akan kematian kerana ia akan menjadikan kita lebih beriman dan beramal kepada Allah. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai sakaratulmaut.

Kisah dari hamba patik yang hina,
Mengharap keredhaan di pagi yang mulia,
Moga semua tidak terhibur sahaja,
Tetapi manfaat diperolehi jua.

Saya tinggalkan majlis ini sekali lagi dengan firman Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 85 yang bermaksud ;

“ Dan ingatlah kisah Ismail, Idris dan Dzulkifli, semua mereka termasuk orang-orang yang sabar ”.


Sekian, Terima kasih.

No comments:

Post a Comment